Panduan buat kaum wanita; Cara menangani penjenayah di jalan raya

8/10/2015 Pusat Tuisyen Minda Proaktif 1 Comments

tips keselamatan buat kaum wanita

Atas peningkatan kos sara hidup dan bagi memenuhi kehendak telah memaksa kaum wanita untuk bekerja mencari rezeki. Akibatnya semakin ramai wanita memandu seorang diri tak kira siang atau malam untuk pergi dan pulang dari kerja. Hal ini telah menjadikan mereka sasaran kaki buli dan penjenayah yang ingin mengambil kesempatan.

Jadi kali ini saya ingin berkongsi apa yang harus anda lakukan jika berhadapan dengan golongan ini.

Kaki buli di jalan raya


Selain memotong kenderaan sesuka hati, mengugut dan menggunakan perkataan keras dan isyarat lucah, kaki buli akan menunjukkan taring apabila kemalangan kecil berlaku dengan memeras ugut mangsa.

Apa yang perlu anda lakukan apabila berhadapan dengan mereka ialah;

  • Jangan sesekali keluar kenderaan untuk memeriksa kerosakan atau bersemuka dengan pemandu yang terlibat dengan kemalangan, khususnya jika ia berlaku di tempat sunyi atau pada waktu malam.


  • Sekiranya didesak keluar oleh pemandu kenderaan yang dilanggar, minta mereka ikut anda ke balai polis berdekatan atau ke kawasan yang sibuk seperti stesen minyak untuk memeriksa kerosakan.

  • Sekiranya mereka enggan dan bertindak agresif, jangan panik. Segera pandu kenderaan anda ke balai polis berdekatan. Ingat! Hanya pihak polis yang berhak menahan anda di lokasi kejadian. Oleh itu, amat penting untuk pastikan semua pintu kenderaan anda berkunci sebelum memandu.


  • Dalam kes yang melibatkan kemalangan kecil, kebiasaannya pemandu tidak akan membuat laporan polis jika ia dapat diselesaikan secara mutual oleh kedua-dua pihak. Ini adalah kerana kompaun polis dan NCB (No Claim Bonus) insurans jauh lebih tinggi daripada jumlah kerugian.


  • Namun, jangan setuju sekiranya anda diminta untuk memberi komitmen atau membayar gantirugi secara tunai di lokasi kejadian kerana mereka akan menggunakan peluang ini untuk memeras jumlah wang yang banyak dari anda. Sebaliknya, dapatkan rakan yang berpengetahuan ataupun mekanik yang bertauliah untuk menilai kerosakan sebelum anda membuat sebarang pampasan.


Penjenayah di jalan raya

Taktik yang kerap digunakan adalah berpura-pura terlibat dengan kemalangan di jalan raya yang tidak sibuk dan menahan kenderaan mangsa untuk berhenti memberi bantuan. Apabila mangsa turun dari kenderaan, mereka akan menggunakan peluang untuk mencuri wang dan kenderaan mangsa.

Apa yang perlu anda lakukan apabila berhadapan dengan mereka ialah;

  • Pada kebiasaannya, penjenayah ini sudah mengenal pasti mangsa dan kenderaan yang ingin dicuri. Mereka akan membuat tinjauan di tempat letak kenderaan. Oleh itu, jangan pamer identiti pemandu seperti kad pelajar atau sampul surat beralamat dalam kenderaan. Maklumat tersebut memudahkan mereka untuk memasang perangkap di laluan tempatkerja dan rumah anda.


  • Semasa meletakkan kenderaan di tempat umum, jangan tinggalkan barang berharga seperti wang tunai, jam tangan dan beg membeli belah (walaupun kosong) di kawasan tempat duduk yang boleh dilihat dari luar. Ia akan menarik minat penjenayah untuk memilih atau memecah masuk ke dalam kenderaan anda. Simpan barang-barang tersebut dalam bonet atau tempat simpan barang di bahagian hadapan kenderaan. Komputer mudah alih dan peralatan elektronik pula disarankan tidak ditinggalkan dalam kenderaan pada bila-bila masa sahaja.


  • Menghias kenderaan secara feminin menggunakan bantal dan anak patung juga tidak disarankan kerana ia akan memudahkan penjenayah mengenal pasti jantina dan umur pemilik kenderaan.


  • Jangan letak beg tangan di tempat duduk penumpang hadapan atau belakang. Ini memberi peluang kepada penjenayah yang mengekori anda dengan motosikal memecahkan cermin kenderaan dan mengambil beg tangan semasa anda berhenti di simpang lampu isyarat.


Akhir kata selamat memandu dan jangan lupa baca doa menaiki kenderaan sebelum memandu.

Atas peningkatan kos sara hidup dan bagi memenuhi kehendak telah memaksa kaum wanita untuk bekerja mencari rezeki. Akibatnya semakin ram...

1 comment: