10 Tips hadapi anak cerewet makan supaya tak perlu berperang di meja makan
Cerewet makan adalah normal dan biasa dalam kalangan anak-anak. Jesteru, ibu bapa perlu kreatif menarik minat anak untuk makan.
Untuk entri kali ini saya akan membincangkan satu masalah yang boleh dikatakan dihadapi oleh majoriti ibu bapa yang mempunyai anak yang masih kecil. Masalah tersebut adalah bagaimana mahu menghadapi anak-anak yang terlalu memilih untuk makan, lebih dikenali dengan istilah 'picky eater'.
Menurut kajian, hampir 40 peratus kanak-kanak yang berumur di bawah 6 tahun cerewet makan. Hal ini kerana mereka hanya makan makanan yang mereka gemari dan tidak makan makanan yang mereka tidak suka. Perkara ini menyebabkan makanan yang diambil tidak seimbang seperti mana yang terdapat dalam piramid makanan.
Masalah cerewet makan sebenarnya normal dalam perkembangan kanak-kanak. Pada waktu ini berlaku tindak balas dalam diri mereka terhadap sesuatu yang baru dan mereka akan lebih berhati-hati serta mudah syak wasangka. Masalah ini tidak berlarutan tetapi akan berubah apabila usia mereka mencapai lapan atau sembilan tahun.
10 Tip hadapi anak cerewet makan
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mengatasi masalahanak yang cerewet makan.
#1 Sabar
Kanak-kanak kebiasaannya memerlukan pendedahan berkali-kali terhadap sesuatu makanan sebelum mereka mahu merasa makanan tersebut. Ibu bapa boleh meletakkan beberapa jenis makanan di atas meja seperti nasi, roti, buah-buahan dan susu untuk diperkenalkan kepada mereka dan memberi mereka kebebasan untuk memilih makanan sendiri. Jika si anak tetap tidak mahu mencuba, ibu bapa boleh cuba semula 2-3 bulan selepas itu.
#2 Libatkan anak anda
Kanak-kanak akan lebih excited (teruja) untuk makan makanan yang mereka sendiri turut sama menyediakannya. Para ibu boleh meminta bantuan dengan meminta mereka membuat pilihan dalam menentukan menu sayur. Sebagai contoh, ibu boleh bertanya, "Hari ni nak makan sayur kacang pis atau brokoli?" Kongsi juga kerja-kerja di dapur dengan mereka seperti memasukkan bahan dalam membuat salad. Jika di pasar raya, minta anak untuk sama-sama memilih buah-buahan atau sayuran.
#3 Kurangkan saiz hidangan
Perut kanak-kanak adalah sama besar dengan saiz penumbuknya sendiri. Jadi makanan yang diperoleh mereka adalah sedikit daripada apa yang kita jangkakan. Jika kita kurangkan makanan di pinggan mereka, mereka lebih tertarik untuk makan kerana mereka tidak perlu makan makanan yang bagi mereka asing dalam kuantiti yang banyak.
#4 Jadi kreatif
Cuba hidangkan makanan dengan cara yang baharu dan ceria.
💟Aplikasi seni - berikan anak anda sekeping roti pita minta mereka hias dengan membuat muka orang daripada tomato, timun, salad dan zaiton.
💟Namakan semula - jika anda ingin memperkenalkan brokoli kepada anak anda, anda boleh panggilkan brokoli sebagai 'pokok kecil', 'baby tomato' sebagai 'bola' dan sebagainya.
💟Cara hidangan berbeza - jika selalunya anda menghidangkan buah yang dipotong di dalam bekas, anda boleh cuba cucuk buah tersebut dengan pencungkil gigi yang tumpul supaya anak anda tertarik untuk mencuba.
💟Jadi bijak - anda boleh campurkan bahan yang anak anda tidak suka dalam makanan harian mereka. Sebagai contoh, puri lobak merah boleh dicampur dengan sos, gantikan air dengan susu apabila mencairkan sup krim cendawan dan tukar tepung biasa kepada tepung berbijirin apabila membuat roti.
#5 Jadi role model kepada anak-anak
Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan padahal diri sendiri berjalan senget. Contohnya, ibu bapa menyuruh anak minum susu, sedangkan mereka sendiri tidak pernah minum susu.
#6 Pelbagaikan menu dalam sehari
Menu yang pelbagai menarik minat kanak-kanak untuk makan. Terutamanya jika makanan itu dihias cantik.
#7 Jangan bagi pilihan pada anak-anak
Menyediakan hidangan berasingan atau backup meals untuk anak anda akan menggalakkan lagi anak anda menjadi picky eater. Galakkan anak untuk tetap berada di meja makan walaupun tidak makan. Teruskan menyediakan makanan yang sihat kepada anak-anak sehingga menjadi satu kebiasaan pada mereka.
#8 Alihkan perhatian
Jika anak tidak mahu menjamah makanan yang diberi, cuba alihkan perhatiannya. Tunjukkan pada si kecil bahawa makanan tersebut sangat enak dan anda sangat berselera ketika menikmatinya.
Ia secara tidak langsung membuatkan anak anda teringin untuk mencubanya. Selang seli menyuapkan makanan tersebut pada mulut anda dan juga pada mulut si kecil.
#9 Temani anak
Jangan biarkan anak anda keseorangan sewaktu makan. Ini kerana mereka lebih teruja jika ibu bapa mereka ada bersama mereka dan ini membuatkan mereka rasa lebih dihargai dan disayangi.
#10 Doa senjata mukmin
Jangan lupa kehebatan doa sebagai senjata bagi orang mukmin. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak mendengar nasihat kita dan menjadi anak soleh dan solehah penyejuk hati.
AWAS !!
Jika cara-cara yang diberikan ibu ayah ini tidak berhasil, jangan jadikan waktu makan sebagai waktu untuk berperang dengan anak anda untuk berperang dengan anak anda untuk memberikan makanan yang mereka tidak suka.
Jangan paksa anak anda untuk makan sesuatu yang mereka tidak suka. Jadikan pencuci mulut sebagai ancaman supaya anak anda tidak cerewet.
Kesimpulannya, cerewet makan adalah perkara normal dan biasa dalam kalangan kanak-kanak. Para ibu boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini. Akan tetapi, cara paksaan akan menyebabkan perkara lain pula berlaku. Jadikan masa makan satu masa yang menyenangkan dan selesa.
Sumber : Majalah Anis
0 comments: